News Detail

Rotavirus ancam bayi & Kanak Kanak - Dr B Kishore - Mingguan Kesihatan, Utusan Malaysia

Rotavirus ancam bayi & kanak-kanak


Berpuluh-puluh kes jangkitan rotavirus yang menular di utara tanahair membabitkan kanak-kanak yang mandi di Taman Tema Bukit Merah Laketown Resort Taiping mencetuskan kebimbangan ibu bapa untuk membawa anak-anak mandi di kolam mandi terbuka.Namun tinjauan di taman rekreasi KLCC hari ini, mendapati ibu bapa masih yakin untuk membawa anak-anak ke sini

KARIM dan Mona (bukan nama sebenar) hampir kehilangan ikhtiar. Anak bongsu mereka, Maria, 3, diserang demam panas, muntah- muntah dan cirit-birit selama beberapa hari.

Sudah berkali-kali mereka membawanya ke klinik tetapi demam Maria tidak juga kebah. Dia sentiasa lesu dan tidak bermaya. Tidak mahu makan dan memuntahkan apa sahaja yang cuba disuapkan oleh Karim.

Malah susu pun tidak dapat ditelannya. Tiada lagi tenaga dalam dirinya. Tubuh badannya yang kecil menjadi semakin lemah, menyebabkan ibu bapanya semakin terdesak.

“Kami cuba apa sahaja untuk menurunkan suhu badannya. Kami menjaram badannya, malah cuba bagi dia aiskrim. Semuanya tidak berkesan, dan kami membawanya ke hospital dengan segera,” katanya.

Akhirnya, Karim dan Mona tahu bahawa muntah-muntah dan cirit- birit tersebut bukan keadaan yang biasa. Anaknya disahkan menghidap rotavirus. Persoalan seterusnya - Apakah rotavirus?

Terbaharu, kita digemparkan dengan berita kes gejala acute gastroenteritis (AGE) dan disahkan positif rotavirus dalam kalangan mereka yang mempunyai sejarah mengunjungi taman tema di Bukit Merah, Perak.Menurut laporan, sebanyak 19 daripada 46 kes rotavirus sehingga 2 Oktober lalu. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 11 adalah kes baharu iaitu enam di Kedah, tiga di Perak dan dua dari Pulau Pinang dengan kesemua pesakit berumur antara setahun dan 30 tahun.

Berikutan itu katanya, kementerian terus memantau status kejadian tersebut termasuk pematuhan kualiti air dalam kolam di pusat riadah berkenaan sebelum boleh dibuka semula kepada orang ramai. Setakat ini katanya, pengurusan Bukit Merah Laketown Resort disaran menggunakan klorinator bagi menggantikan kaedah pengklorinan secara manual selain perlu mematuhi piawaian antara tempoh kontak air dengan klorin.

“Penyucian terperinci serta penggantian semula dengan air yang bersih ke atas semua kolam di situ dilakukan agar selamat untuk digunakan selain memastikan alat penapis di rumah pam di resort tersebut diselenggara mengikut jadual agar bakteria dan virus tidak terperangkap pada penapis itu,” katanya .

Noor Hisham turut menasihati orang ramai supaya tidak membawa anak-anak yang mempu­nyai gejala AGE seperti cirit-birit dan muntah-muntah ke kolam renang selain memastikan anak-anak kecil tidak memakai lampin pakai buang semasa mandi di kolam.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr. B. Kishore berkata, ibu bapa perlu mengetahui maklumat untuk melindungi anak-anak kita daripada bahaya virus ini.

“Penyakit ini berpunca daripada virus itu sendiri dan rotavirus telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit-birit,” katanya. Rotavirus ialah virus yang berjangkit melalui makanan, minuman dan hasil kumuh.

“Apabila kanak-kanak mendekati barang-barang yang telah dicemari dengan kotoran yang mengandungi rotavirus , kanak-kanak tersebut berpotensi untuk dijangkiti. Misalnya, seorang kanak-kanak mengalami simptom muntah dan cirit-birit dan najisnya tidak dicuci dengan bersih, maka, virus itu boleh berjangkit kepada orang lain,” katanya.

Keadaan menjadi lebih berbahaya kerana rotavirus mampu bertahan sehingga beberapa hari di satu tempat sebelum menjangkiti mangsanya.

Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur enam bulan hingga 24 bulan dilihat sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada jangkitan Rotavirus.

Contact KPJ Tawakkal Specialist Hospital Call: 603 - 4026 7777 Email: tawakkal@kpjtawakkal.com